Wednesday, 24 June 2015

JAIP Denda RM2,000 Jika Berpakaian Mencolok Mata Ke Bazar Ramadan

JAIP Denda RM2,000 Jika Berpakaian Mencolok Mata Ke Bazar Ramadan





Gambar hiasan

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyatakan wanita Islam di negeri itu yang berpakaian mencolok mata termasuk mengenakan pakaian terlalu pendek atau ketat sepanjang Ramadan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000.

Ketua Siasatan JAIP, Mohd Anis Azmin berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihaknya di beberapa lokasi di bazar Ramadan mendapati ramai wanita Islam memakai pakaian tidak sopan yang dianggap sebagai tidak sesuai.
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyatakan wanita Islam di negeri itu yang berpakaian mencolok mata termasuk mengenakan pakaian terlalu pendek atau ketat sepanjang Ramadan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000.



“Mereka perlu mengelak daripada memakai pakaian seperti itu sepanjang bulan mulia ini.

“Ini merupakan amaran kepada orang ramai sebelum kami melakukan operasi terhadap pesalah tidak lama lagi,” katanya seperti dilapor sebuah portal berita, hari ini.

Tambah Anis, pihak JAIP tidak meletakkan etika berpakaian untuk menjelaskan cara pemakaian yang dianggap sopan.

“JAIP tidak bleh menetapkan penanda aras mengenai bagaimana pakaian yang sopan, kerana apa yang baik bagi JAIP, tidak semestinya dianggap begitu oleh orang lain.

"Kita juga tidak boleh memberitahu mereka apa yang mereka perlu pakai tetapi peraturan praktikal adalah untuk berpakaian sopan walaupun anda hanya keluar untuk membeli makanan di bazar Ramadan," katanya.

Bagaimanapun, pesalah yang ditangkap pihak berkuasa agama akan diberi kaunseling terlebih dulu dan sekiranya, mereka mengulangi kesalahan sama maka boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.



- mD

SUMBER: MALAYSIAN DIGEST

Sunday, 21 June 2015

Inilah Punca Tyrese Gibson Memeluk Islam, Hidayah Turun Antaranya Ketika Melakonkan Babak di Dalam FAST7



Inilah Punca Tyrese Gibson Memeluk Islam, Hidayah Turun Antaranya Ketika Melakonkan Babak di Dalam FAST7


.




Jika beberapa hari lalu, pengguna media sosial rancak memperkatakan tentang aktres berpengaruh Hollywood, Angelina Jolie kononnya menitip ucapan 'Ramadan Kareem' kepada peminat Islamnya menerusi laman fanpage Facebook sekaligus menjadi viral.

Terkini tersebar pula berita pelakon dan penyanyi yang lebih dikenali menerusi watak Roman Pearce dalam siri filem hebat Fast & Furious iaitu Tyres Daniel Gibson, menitip ucapan 'Ramadan Al-Mubarak' kepada peminat khususnya kepada beragama Islam.





.Malah, di sebalik ucapan itu selebriti yang berasal dari Los Angeles, California, Amerika Syarikat ini dikatakan sebenarnya sudah bergelar mualaf sejak tahun lalu.

Perkara itu didedahkan sendiri Gibson menerusi laman sosial, Instagram dan Facebook miliknya apabila dia kerap memuat naik video di laman Facebooknya dengan memberi gambaran sebenar beliau sudah memeluk Islam.

Tidak hanya memuat naik ucapan Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di dunia bahkan berdasarkan beberapa gambar yang pernah dimuat naiknya di Instagram sebelum ini, dia turut menulis perkataan #InshaAllah (dengan izin Allah).

Jika setiap kali statusnya tertulis #InshaAllah, Gibson menerima banyak komen daripada peminat Muslim yang turut menitipkan ucapan Alhamdulillah.

Namun, ada juga pengikutnya yang bertanya sejauh mana kebenaran dia sudah memeluk Islam.

Sementara itu, sahabat baik kepada mendiang Paul Walker ini juga dikatakan telah memeluk Islam di Dubai pada tahun 2014 ketika bercuti bersama pelakon Will Smith dan penyanyi Maxwell.

Pemergiannya ke Dubai pada tahun itu sekaligus sempena memperingati kematian Walker yang maut akibat kemalangan pada tahun lalu.

Menerusi satu rakaman video menunjukkan aktiviti Gibson di Dubai bertemu temannya berbangsa Arab dan menyapa mereka dengan ucapan assalamualaikum. Selain itu, dia juga mengenakan jubah dan lengkap berserban.

Gibson juga dikatakan pernah menyatakan perasaannya selepas memeluk Islam iaitu merasakan seperti baru dilahirkan dan sangat tenang.

Menerusi satu video temubual beberapa minggu lalu, Gibson berkongsikan pengalamannya sebagai seorang Muslim dan perkara itu disambut positif oleh peminatnya di seluruh dunia.

Di samping itu, dia berkongsi pandangannya tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan Islam sejagat.

Terbaharu, menerusi laman Instagramnya dua hari lalu, dia memuat naik sekeping foto menunjukkan permandangan di Dubai dan menulis kapsyen memaklumkan dia akan berkunjung lagi ke negara itu pada Julai nanti juga tidak lupa menulis #InshaAllah.



Wednesday, 17 June 2015

BAYI PUTUS PERGELANGAN TANGAN TERSEPIT ESKALATOR



BAYI PUTUS PERGELANGAN TANGAN TERSEPIT ESKALATOR






Kuala Lumpur

Mengerikan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 bulan putus pergelangan tangan kanannya akibat tersepit pada tangga eskalator di KL Sentral di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan apabila tangan mangsa yang putus hanya berjaya dikeluarkan dari dalam eskalator itu kira-kira dua jam selepas kejadian.


Dalam insiden kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd Afkar Daniel Freedy cedera parah ketika dibawa ibu bapanya pergi ke pusat beli belah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, mangsa dikatakan berjalan ke arah tangga eskalator di tingkat dua bangunan itu.

Menurutnya, kejadian itu tidak disedari kedua ibu bapa mangsa yang ketika itu sedang membeli barang di premis berhampiran.


“Mangsa dipercayai menaiki eskalator dari aras dua menuruni tingkat satu bangunan sebelum tangan kanannya tersepit di tangga bergerak itu. Akibatnya pergelangan tangan mangsa putus dan memasuki celah eskalator itu.



“Insiden itu bagaimanapun disedari anggota pasukan polis bantuan yang berada di lokasi kejadian. Anggota polis itu kemudian segera memberi bantuan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan polis percaya insiden ini lebih kepada kelekaan ibubapa memerhatikan mangsa.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. CCTV hanya tertumpu di bahagian tangga sahaja,” katanya.