Maarof Diculik, Dibunuh Dan Digantung Dalam Hutan

RAKYAT di negara ini, terutama peminat-peminat filem Melayu lama tentu cukup mengenali seniman veteran,
Datuk Mustapha Maarof,
79, yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka di studio
perfileman melayu di Singapura dan beratus drama lakonannya.
Maarof Zakaria - Bapa seniman Mustapha Maarof
Pengasas bank Melayu pertama mati tragis dibunuh
Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapakah bapanya iaitu Allahyarham
Maarof Zakaria, seorang peguam dan bekas pegawai daerah di Perak yang mati secara tragis.
Jalan Maarof
Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai,
mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, yang bermula di Dataran
Maybank menuju ke pusat membeli belah di Bangsar yang cukup sibuk.
Siapa Maarof
 |
Maarof Zakaria dalam bulatan merah |
Siapakah
Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk
diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna
setiap hari? Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang
diperkatakan.
Maarof Zakaria anak kelahiran
Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah
antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang
hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu,
Zainal Abidin Ahmad atau
Pendeta Zaaba (16 September 1895-23 Oktober 1973).
Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis dan penulis negara,
Ishak Haji Muhammad atau
Pak Sako (14 Nov 1909 - 7 November 1991).
Pengasas Malay Nasional Bank
Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang
untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank
pertama khas untuk orang Melayu iaitu
Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di
Klang Street, di ibu negara.
Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan
membangun seiring dengan kemajuan bangsa lain, mereka mesti mempunyai
sistem ekonomi yang kuat. Salah satu daripadanya ialah melalui sistem
perbankan yang sistematik.
Artikel
akhbar tentang tragedi pembunuhan pengasas bank Melayu pertama.
Eksklusif temubual bersama anak Allahyarham, Datuk Mustapha Maarof.
Dengan berkat keazaman yang tinggi akhirnya, pada bulan Julai, 1947
sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan oleh seorang peguam Melayu
bernama Encik Maarof Zakaria. Bank tersebut hanya mempunyai 2 juta
saham dan hanya terbuka kepada orang-orang Melayu. Ringkasnya,
pelanggannya terhad kepada orang-orang Melayu sahaja.
Pada waktu itu telah ada dua buah bank di Tanah Melayu. Di kedua buah
bank tersebut, Melayu tidak dibenar meminjam wang. Melayu hanya boleh
meminjam wang dari ceti-ceti haram dengan bayaran bunga yang cukup
tinggi. Encik Maarof menjawab cabaran ini dengan menubuhkan bank untuk
Melayu sahaja.
Namun, sayangnya niat murni tokoh itu telah disalah tafsir oleh pihak
tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat
dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika
itu,
The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu
Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).
Dibunuh Kejam
Selepas 6 bulan bank untuk Melayu itu beroperasi dengan jayanya, Encik
Maarof Zakaria telah dijumpai mati dibunuh di Lake Garden. Sebelum itu,
Maarof dilaporkan hilang selama 2 hari selepas keluar dari rumah menuju
ke Kampung Baru. Beliau ditemui di dalam hutan dalam keadaan tergantung.
Jam rolex di tangannya dan wang dalam sakunya didapati tidak diambil
oleh pembunuh. Ini bererti pembunuh hanya ingin membunuh pengasas bank
Melayu yang didirikan oleh Encik Maarof itu.
Encik Maarof Zakaria telah mendirikan Bank Kebangsaan Melayu dengan
bermodalkan 27 ekar tanah serta tiupan roh semangat perjuangan bangsa
Melayu di dalam bidang ekonomi.
Pihak yang merancang dan bertanggungjawab membunuh Encik Maarof Zakaria,
nampaknya bertujuan membunuh semangat perjuangan Melayu di bidang
ekonomi. Berlandaskan tiupan roh semangat perjuangan Melayu di bidang
ekonomi inilah maka dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dalam tahun
1965, cadangan penubuhan
Bank Bumiputera telah diketengahkan.
Akhirnya, Bank Bumiputera Malaysia Berhad ditubuhkan pada tahun yang
sama iaitu 1965 dan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri
ketika itu,
Tun Abdul Razak bin Hussein. Penubuhan Bank Bumiputera ini bertujuan untuk membaiki ekonomi Bumiputera dan mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar.